Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan tiga perkara penting terhadap bahasa Melayu, iaitu :
i) Bahasa kebangsaan
ii) Bahasa rasmi
iii) Bahasa pendidikan.
i) Bahasa Kebangsaan.
Taraf
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama
sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar
diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta
orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran
moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh
itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus
mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat
berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.
ii) Bahasa Rasmi
Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula
menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam
bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan,
undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut
tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan
Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan
tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku
sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi
bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep
kehidupan moden. Dapat dikatakan bahawa seluruh konsep yang berkaitan
dengan urusan rasmi kenegaraan mewakili kehidupan dunia moden. Yang
menjadi soal ialah kemampuan dan kesediaan semua kalangan yang terlibat
dalam pentadbiran negara menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan
rasmi.
iii) Bahasa Pendidikan
Taraf bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang
cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal
ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu.
Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah
bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang
tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya
Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa
Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa
moden. Bahasa Melayu bukan saja dapat menjadi wahana penyebaran ilmu di
peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti
mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu di
peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti
mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu
sains tabii dan bidang teknikal. Singkatnya, bahasa Melayu dapat
dijadikan bahasa perantaraan untuk komunikasi ilmu sejagat.