Eh, mak Ko Meletop! |
Masyarakat kita terutama kaum Melayu sememangnya cukup sinonim dengan
melatah terutama golongan berumur. Menghibur dan mencuit hati. Mungkin
itulah gambaran paling tepat bagi menggambarkan gelagat mereka yang
melatah ini. Jika diperhatikan, apabila seseorang melatah, dia
seolah-olah hilang pertimbangan dan lupa seketika perbuatan yang
dilakukan. Anehnya, tiada siapa yang akan menjauhkan diri daripada
mereka yang melatah malah latah mereka berpanjangan jika terus diusik.
Lazimnya apabila kita melihat adegan
orang melatah, kita akan berasa terhibur. Ada pula sesetengah orang
apabila melihat orang melatah, akhirnya diikut-ikut tanpa disedari pula
oleh mereka. Kita yang melihat aksi sedemikian akan mengusik individu
yang dikenal pasti boleh melakukan aksi melatah secara spontan. Sedarkah
kita bahawa latah sebenarnya adalah sejenis penyakit, khususnya jika
gejala itu berlaku dalam keadaan yang keterlaluan, sering kali berlaku
dan sukar dikawal oleh penghidapnya. Latah ialah sejenis penyakit saraf
yang menyebabkan seseorang itu (biasanya perempuan) tidak sedar apa
yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan atau suruhan orang dengan
tidak disedari, dan mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu
dengan tidak disengajakan kerana terperanjat dan lain-lain.
Mungkin kita sedikit terhibur apabila
melihat aksi latah yang melucukan, tetapi percayalah bahawa tidak
ada seorang pun daripada mereka yang menghidap penyakit latah mahukan
diri mereka menjadi pelatah, hatta jika digelar pelatah paling popular
sekalipun. Justeru, apabila kita melihat seseorang itu melatah, kita
sepatutnya mendoakan agar si pelatah itu sembuh daripada penyakitnya
itu, serta dapat membuang dan mengawal tabiat terbabit daripada
berulang. Dalam hal ini, apabila kita ketawa melihat seseorang itu
melatah, kita seolah-olah mendoakan agar si pelatah itu terus kekal
dengan penyakitnya itu. Kita seolah-olah berkata, biarlah ada seorang
yang menderita kerana penyakit latah, asalkan ‘deritanya’ itu dapat
menghiburkan ramai orang. Jika tersilap langkah, usikan terhadap pelatah
yang bertujuan untuk bersuka-suka boleh bertukar menjadi tragedi,
lebih-lebih lagi jika pelatah sedang memegang objek tajam.
No comments:
Post a Comment