Saban hari semakin banyak cerita-cerita yang menggembirakan hati menyelusup masuk ke dalam rongga telinga saya terutamanya hal-hal yang berkaitan perkahwinan. Almaklumlah semua sudah besar dan matang. Perkahwinan orang Melayu ini mempunyai adatnya tersendiri yang begitu unik. Masyarakat 
        Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai 
        kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan 
        begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu 
        akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.
Merisik juga merupakan salah satu adat dalam proses perkahwinan. Adat 
        ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah 
        untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih 
        belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang 
        meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk 
        menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab 
        sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat 
        ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu 
        atau bapa saudaranya. 
Bagi 
        pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan 
        sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut 
        perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang 
        baik.
Adakalanya 
        semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin 
        tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik 
        jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih 
        dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk 
        menjimatkan kos dan masa.


No comments:
Post a Comment