Apabila bercakap tentang budi bahasa ramai akan berkata bahawa rakyat
Malaysia terutama orang Melayu cukup kaya dengan nilai-nilai tersebut.
Lebih
ekstrem lagi ada yang akan menjawab budi bahasa dan sopan-santun tidak
boleh dipisahkan daripada masyarakat timur terutama rakyat negara ini.
Tetapi
adakah realitinya sama seperti yang diperkatakan itu. Adakah masyarakat
kita mengotakan apa yang mereka kata apabila membabitkan budi bahasa?
Jika masyarakat kita mendakwa mereka menjadikan budi bahasa sebagai amalan apakah ukurannya?
Budi
merupakan perbuatan atau akhlak yang baik terutama sesama manusia. Ia
termasuk membabitkan tingkah laku, pertuturan dan perangai.
Termasuk
juga dalam kategori budi itu ialah mereka yang jujur, ikhlas, pemurah,
suka tolong orang, ada belah ihsan dan saling bantu membantu.
Tetapi
apabila seseorang itu dikatakan berbudi bahasa maka ia bermaksud
perbuatan, tingkah laku dan perangai yang baik termasuk pertuturannya
sekali. Sebabnya, bahasa juga melambangkan sama ada seseorang itu
berbudi atau tidak.
Apabila bercakap soal budi bahasa ia mencakupi aspek yang sangat luas. Ia membabitkan nilai dan norma hidup masyarakat kita.
Masyarakat
yang berbudi bahasa adalah masyarakat yang terdiri daripada individu
yang jujur, ikhlas, sopan, pemurah, saling tolong menolong, berakhlak
mulia, menggunakan bahasa yang baik, hormat, menghargai orang lain,
berterima kasih dan faham akan kedudukan orang lain.
Berbudi
bahasa akan memberikan kesan yang baik kepada masyarakat. Ia merapatkan
silaturahim, saling percaya-mempercayai dalam dalam konteks Malaysia
dapat meningkatkan perpaduan antara kaum.
Budi bahasa sepatutnya
dijadikan asas dalam proses membina masyarakat yang beradab dan
bertamadun. Bagi orang Islam pula ia selari dengan ajaran agama.
Bukankah orang Islam apabila bertemu perlu mengucapkan salam? Tetapi adakah ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian?
Adab
mengenai salam juga sudah disusun dengan cantik. Yang baru sampai
memberi salam kepada yang sudah lama sampai. Tetamu memberi salam kepada
tuan rumah dan yang muda memberi salam kepada yang tua.
Semua itu merupakan perbuatan yang mempunyai kaitan dengan budi bahasa.
Berbudi bahasa pula bukan sekadar melayan orang yang bertanding ke rumah atau orang yang kita kenali dengan baik.
Tetapi untuk sesuatu masyarakat itu dianggap berbudi bahasa ia melibatkan pelbagai aspek.
Satu
ketika rakyat negara ini melenting apabila satu laporan media barat
mengatakan penduduk negara ini tidak atau kurang berbudi bahasa.
Kenapa
kita perlu melenting sekiranya dalam kehidupan seharian budi bahasa
memang tidak menjadi amalan kita terutama apabila berada di tempat awam.
Pernah
kita meminta maaf apabila terlanggar bahu orang lain ketika di pasar
raya atau di tempat yang agak sesak? Pernahkah kita mengucapkan terima
kasih kepad pelayan yang menghantar air kepada kita? Atau hanya
memandangnya dengan pandangan sinis kerana menganggap itu memang
tugasnya.
Itu belum mengambil kira perbuatan membantu orang
kurang upaya, orang tua, wanita mengandung mereka yang dalam kesusahan
dan sebagainya.
Malah budi bahasa juga dinilai melalui kata-kata.
Jika di lihat kepada bahasa yang digunakan oleh generasi muda hari ini,
nilai-nilai budi bahasa itu semakin terhakis.
Orang yang berbudi
bahasa akan melafazkan kata-kata yang mengandungi maksud yang baik
dengan nada yang elok dan tidak menyakitkan perasaan orang lain.
Bahasa-bahas
kasar yang kian berleluasa dan dilafazkan secara terpekik-pekik serta
ditambah pula dengan kata-kata lucah tidak mencerminkan masyarakat yang
berbudi bahasa.
Tetapi jangan pula apabila dengan berbudi bahasa
itu kita akan menjadi menjadi masyarakat yang lemah. Sebaliknya ia akan
menjadikan sesuatu bangsa itu lebih disegani dan dihormati.
Sebagai
masyarakat timur terutamanya penduduk Melayu yang beragama Islam,
mereka sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengamalkan
budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Budi bahasa juga akan membawa kepada masyarakat yang saling hormat menghormati tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
Tetapi
jika dilihat kepada senario hari ini ia seolah-olah menggambarkan
nilai-nilai murni dan budi bahasa semakin terhakis di kalangan
masyarakat kita terutama generasi muda.
Perbuatan merosakkan
harta benda awam, menconteng, tidak mematuhi peraturan, melawan guru dan
sebagainya adalah contoh keadaan masyarakat kita yang semakin terpesong
daripada landasan budi bahasa.
Malah kemalangan maut yang meragut ribuan nyawa setiap tahun juga sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan amalan budi bahasa.
Jika kita berbudi bahasa di jalan raya kamalangan tentunya dapat dielakkan.
Di mana silapnya? Adakah ibu bapa yang gagal berperanan atau guru-guru gagal memberikan didikan?
Jika
dilihat kepada sistem kekeluargaan hari ini yang lebih bersifat
materialistik ia sedikit sebanyak menyumbang kepada penghakisan budi
bahasa di kalangan masyarakat.
Kerana sibuk anak-anak dan ibu
bapa semakin jarang bertegur sapa. Kerana terlalu biasa duduk
bersendirian tanpa pemantauan anak-anak menjadi tidak endah. Sikap itu
tentunya akan dibawa pula ke sekolah. Pantang ditegur guru-guru pula
menjadi mangsa.
Perkara ini jika tidak dibendung akan melahirkan masyarakat yang berjaya tetapi tidak ada jiwa.
Sebab
itu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengambil
inisiatif melancarkan Adab Sopan dan Nilai-nilai Murni bagi membentuk
masyarakat Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan
bekerjasama serta cintakan negara.
Tidak ada maknanya jika Malaysia mencapai status negara maju tetapi rakyatnya langsung tidak berbudi bahasa.
Rakyat berkemahiran tinggi memang penting untuk negara. Tetapi pada masa sama ia juga memerlukan rakyat yang berbudi bahasa.
Sejarah
telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah
runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang
dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah
No comments:
Post a Comment