Tuesday, April 24, 2012

xxxii) Melayu Mudah Lupa




Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran.

Pada pendapat saya, mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.

Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
 
Ramai ahli bahasa khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dengan betul.
 
Fenomena bahasa rojak yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi dicampuradukan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah dan kebiasaan.

Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan kita semakin terdedah kepada bahasa rojak.

Malah sebahagian anggota pentadbiran kerajaan kita juga cenderung menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan di majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Sungguhpun saya bukan pakar linguistik, saya berpendapat masa telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau amalan harian di negara kita.

No comments:

Post a Comment