Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan tiga perkara penting terhadap bahasa Melayu, iaitu :
i) Bahasa kebangsaan
ii) Bahasa rasmi
iii) Bahasa pendidikan.
i) Bahasa Kebangsaan.
Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.
ii) Bahasa Rasmi
Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. Dapat dikatakan bahawa seluruh konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi kenegaraan mewakili kehidupan dunia moden. Yang menjadi soal ialah kemampuan dan kesediaan semua kalangan yang terlibat dalam pentadbiran negara menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.
iii) Bahasa Pendidikan
Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa moden. Bahasa Melayu bukan saja dapat menjadi wahana penyebaran ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu sains tabii dan bidang teknikal. Singkatnya, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perantaraan untuk komunikasi ilmu sejagat.
No comments:
Post a Comment