Friday, March 30, 2012

xx) Cucur???


Cucur Udang


                                                                              @

Cucur Duit


Apa itu cucur???
sebut saja perkataan ini, pasti akan timbul konflik antara anak perantauan Kelantan dengan orang yang bukan kelahiran Kelantan. Hal ini kerana, perkataan tersebut mempunyai makna yang berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing. Perbualan antara anak Kelantan dengan anak Kedah telah menimbulkan ketidakfahaman semasa berlakunya komunikasi dua hala. Contohnya :

Amirul : Zul, kau tak beli ke produk yang aku buat ni?

Zul : Bilo maso pulok mu jjual ni?

Amirul : eh, dah lame dah, tapi sebelum ni takde lah sebesar ni perniagaan aku..

Zul : ooo, mu jjual ggapo?

Amirul : ada la makanan sikit-sikit, kau tak nak beli ke??

Zul : aku nok tengok sikit, makene ggapo...
        oooo, sedak jugok ni, mari ke aku so, berapo so?

Amirul : murah je, RM 2 satu barang

Zul : ok, aku nok so deh, nah RM 5

Amirul : ok..

Zul : mne cucur nyo???

Amirul : hah?? cucur, bila masa plak aku jual cucur ni???

Zul : tak dok lah, maksud aku, baki duit aku...

Amirul : Ooo..

kalau di Kelantan cucur itu bermaksud baki duit selepas membeli tetapi kalau di negeri lain, cucur itu merupakan makanan yang diperbuat dengan gandum dan dicampur dengan udang atau pun ikan bilis.

Thursday, March 29, 2012

xix ) Gelaran Punya Pasal

Kejadian ini berlaku pada dua tahun yang lepas, ketika itu saya berada dalam semester dua pengajian di UPSI. Dua orang pensyarah sedang berbual di restoren yang berdekatan dengan UPSI, pada waktu itu merupakan hari cuti am dan juga berada di luar bidang masing-masing. kedua-dua orang pensyarah tersebut bergelar Dr. ikutilah perbualan mereka.


Dr. A : Assalamualaikum

Dr. B : waalaikumussalam, eh Zul rupanya. sila duduk2

Dr. A : Buat apa sorang-sorang ni??

Dr. B : ni ha, tgh baca paper hari ni.

Dr. A : Mad, kau tak ad pergi mana-mana ke cuti ni?

Dr. B : kamu ni, panggil elok-elok nama tu...
           saya kan Dr. jangan panggil sesuka hati mcm tu je...

Dr. A : yela saya tahu, saya pun Dr. juga tak ada la sampai di luar bidang pun nak kena panggil Dr. juga. professional lah sikit...

Dr. B : ....

Begitulah sedikit perbualan antara dua orang pensyarah yang saya dengar secara tidak sengaja...

Wednesday, March 28, 2012

xviii) Bahasa Kiasan Moden

Bahasa Kiasan ialah ungkapan yang maknanya tidak diketahui daripada makna perkataan itu sendiri atau daripada susunan tatabahasanya. Dengan kata yang lain, maknanya tidak 100% oleh makna kata-kata dalam binaan bahasa kiasan tersebut. Dalam bahasa kiasan, sesuatu perkataan, frasa atau ayat mempunyai maksud yang berlainan dengan makna harfiah kata-kata yang membinanya.

Dalam bahasa kiasan, kita membuat perbandingan akan sesuatu perkara dengan benda yang lain. Perbandingan ini dibuat melalui bandingan yang nyata dengan atau tanpa menggunakan kata bandingan tertentu. Kita hanya mengiaskan sesuatu yang dimaksudkan itu dengan benda atau perkara yang lain. 

Pendeta Za’ba mengatakan bahawa bahasa kiasan ialah bahasa yang mencakapkan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada perkara lain, sama ada dengan menyebut bandingan antaranya atau dengan tiada menyebutkan bandingan lagi; tujuannya supaya menambahkan terang sesuatu yang dikatakan atau diceritakan dan menguatkan makna. Inilah keistimewaan bahasa kiasan.

 Ini adalah sebahagian contoh bahasa kiasan yang kita dengar:
  1. bila kita pergi ke rumah orang, dan dah duduk lama, lepas tu bila kita nak balik, tuan rumah kata "eh?kejap nowh datang?tinggal la lama sikit..."....nak tau apa disebaliknya?"reti balik rupanya...ingat nak tinggal tetap bermastautin kat sini...bla...bla..." 

  2. kalo kita dijamu dengan makanan oleh tuan rumah, pastu kita makan ala kadar jek, tuan rumah mesti cakap "laaa....sikitnya makan...tambah la lagi...banyak lagi lauk ni..."..tapi sebenornya dia maksudkan ni..."janganla tambah...janganla tambah.."..

  3. bila kita datang rumah orang, pastu kena pulak anak tak reti duk diam...sibuk berlari ke sana sini....tuan rumah mesti kata "bagus ek anak ko...pemelor...panjang akal besok budak ni..."..tapi sebenornya diorang maksudkan ni "kawal-kawal le anak ko tu...rimas dah aku tengok..kalo anak aku, dah aku seret dah dia atas jalan..tak reti kawal diri..."...

  4. yang ni pulak jadik kalo tetiba anak kita duk tumpahkan air ke, makan menjijis ke, termuntah, terkencing kat karpet diorang...tuan rumah mesti kata "takpe..takpe...budak-budak...biasala tu...lap-lap ni setel la..."....tapi sebenornya diorang maksudkan ni..."weeiii...tu karpet import dari Iran tu...hutang pun tak abis bayor lagi....nak aje aku mintak bayor la..."...

  5. dan ayat yang biasa kita dengor kalo bertandang rumah orang, ialah "mehla masuk...buatla macam rumah sendiri ek..."...tapi sebenornya diorang maksudkan ni..."jangan nak berlagak lebih-lebih macam tuan rumah lak...bila-bila masa jek aku humban ko keluor kang...."...

Tuesday, March 27, 2012

xvii) Kecil Tapi Bermakna

Kata sendi nama merupakan salah satu jenis kata tugas.Kata tugas pula bermaksud kata yang tidak boleh menjadi inti  bagi frasa nama,frasa kerja dan frasa adjektif.Kata tugas hadir dalam ayat,klausa, atau frasa sebagai penghubung,penerang,penentu atau tugas-tugas lain.Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di bahagian hadapan frasa nama.Tetapi setiap satu kata sendi nama itu mempunyai tugas yang berlainan kerana terdapat kata sendi nama yang tergolong dalam golongan kata yang lain.Sebagai contoh akan (juga berfungsi sebagai kata arah dan kata adjektif).

Kata sendi nama “di” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukan tempat. Kata sendi nama ini ditulis secara terpisah daripada kata nama atau frasa nama contoh ayat : Ayahnya bekerja di Kuala Lumpur. Walaupun penggunaannya sentiasa diingatkan dan ditegur oleh pakar-pakar bahasa, namun masih terdapat juga segelintir golongan yang masih lagi gagal menggunakannya dengan betul, contohnya:



Monday, March 26, 2012

xvi) Indahnya Bahasa






Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah (negeri dan lain-lain). Dialek biasanya akan digunakan di daerah masing-masing kerana masyarakat jati penutur sahaja yang akan memahami perkara yang ingin disampaikan. Di Malaysia dialek mempunyai berbagai-bagai jenis yang selalu digunakan dalam kalangan masyarakat. Antara negeri yang mempunyai dialek tersendiri ialah negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Pahang dan banyak  lagi negeri yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Contohnya:

i) Vokal a yang terdapat pada akhir perkataan dalam bahasa melayu standard adalah sejajar dengan vokal ô dalam subdialek kelantan. Contoh penggunaannya dalam perkataan ialah: 
 
Dialek Kelantan
Bahasa Melayu standard
/# manô #/
mana
/# bakpô #/
kenapa
 


ii) Vokal a yang terdapat dalam suku kata akhir tertutup bahasa melayu standard sejajar dengan vokal ô yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Penggantian vokal a pada bahasa Melayu standard kepada vokal ô dalam subdialek Kelantan akan berlaku jika perkataan tersebut berakhir dengan hentian glotis (q) atau frikatif glotis (h) selepas vokal a tersebut dalam perkataan bahasa Melayu standard. Contohnya:
Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# susôh #/
susah
/# galôq #/
galak
  

 iii) Perkataan yang mempunyai suku kata tertutup a yang diakhiri dengan konsonan t dan p dalam bahasa Melayu standard akan digantikan dengan hentian glotis (k) dalam subdialek Kelantan. Namun vokal a pada suku kata tertutup tersebut tidak akan berubah. Contohnya:
Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# cepak #/
cepat
/# isak #/
hisap


iv) Vokal a yang diikuti dengan konsonan nasal dalam suku kata akhir tertutup bahasa standard akan digantikan dengan vokal ê dalam subdialek Kelantan. Contohnya:
Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# makê #/
makan
/# sayê #/
sayang




v) Vokal a yang diikuti dengan konsonan l dan r dalam perkataan bahasa Melayu standard pada suku kata akhir tertutup adalah sejajar dengan perkataan yang terdapat dalam subdialek Kelantan. Namun, konsonan l dan r akan dihilangkan dalam perkataan subdialek Kelantan. Contohnya:
Dialek Kelantan
Bahasa Melayu Standard
/# kĕba #/
kebal
/# tika #/
tikar

Friday, March 23, 2012

xv) Lemah Lembut Itu Sikap Yang Mulia

Budi Bahasa Budaya Kita, itulah kata-kata yang selalu dilaung-laungkan tidak kira dalam radio mahupun televisyen. Pada masa sekarang sudah ramai manusia yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan kata-kata itu. Situasi ini terjadi di dalam bas semasa menunggu pelajar lain naik ke dalam bas selepas pulang dari Pasar Malam Pekan Tg Malim. Oleh kerana saya duduk di barisan paling hadapan dalam bas,maka saya dapat mendengar dengan jelas komunikasi antara pelajar dan pemandu bas tersebut. Situasi ini terjadi apabila pelajar tersebut menaiki bas sambil membawa air yang dibeli di pasar malam dan bertanya kepada pemandu tersebut.

Pelajar   : Pakcik, bas ni akan pergi kampus tak?

Pemandu Bas  : Aiyo..hari-hari da naik bas,takkan tak tahu. Soalan macam tu tak payah tanya. Penat la nak menjawab. tengok tu, kan da banyak kali pakcik pesan,tak paham-paham lagi ke? (pelajar itu terpinga-pinga)
Kan da cakap jangan minum dalam bas.Pergi turun! Habiskan air tu dulu sebelum naik bas.

Thursday, March 22, 2012

xiv) Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa



Hukum D-M digunakan untuk memastikan frasa nama digunakan dengan betul. (D) bermaksud diterangkan ‘benda’ kemudian (M) bermaksud ‘menerangkan’ perihal benda tersebut.

Penggunaan hukum D-M yang betul adalah seperti:
  • ikan besar   bukannya besar ikan
  • kipas putih bukannya putih kipas
  • perkara-perkara lain bukannya lain-lain perkara
  • negeri lain bukannya lain negeri
  • Restoran Ali bukannya Ali Restoran
  • Klinik Gigi bukannya Gigi Klinik
  • Hal-hal lain bukannya lain-lain hal
Kata yang dicondongkan itu ialah benda (kata nama) dan diikuti dengan keterangan (menerangkan) sifatnya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga frasa nama yang terkecuali daripada hukum D-M. Hal ini demikian kerana frasa nama tersebut telah digunakan secara meluas. Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.

Wednesday, March 21, 2012

xiii) Melayu itu Indah

Dulu bahasa Melayu sangat terkenal sehingga menjadi bahasa lingua franca tetapi arus kemodenan telah mengubah segala-gaanya. pada masa sekarang bahasa Inggeris menjadi keutamaan oleh semua orang tidak kiralah Melayu, Cina, India dan juga bangsa lain. Pada masa sekarang, bahasa Inggeris telah menjadi pilihan walaupun bahasa Melayu itu sendiri telah termaktub dalam perlembagaan yang menyatakan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara. Contohnya, Di sini
Inilah salah satu contoh bahawa masyarakat Melayu kita khususnya golongan remaja telah menganggap penggunaan bahasa Inggeris sangat penting dalam dunia tanpa sempadan yang dilengkapi dengan kemajuan teknologi yang pesat. Hal ini sebenarnya tidak melambangkan mereka sebagai orang Malaysia terutamanya berketurunan Melayu. Sepatutnya kita sebagai golongan remaja perlulah sedar akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Sekiranya terdapat ramai individu yang bersikap seperti ini, kemungkinan suatu hari nanti bahasa Melayu tidak akan digunakan lagi.

Tuesday, March 20, 2012

xii) Datuk Oh Dato’



Dato' Siti Nurhaliza



Datuk Lee Chong Wei


Di Malaysia, terlalu banyak gelaran seperti Tan Sri, Datuk Seri, Dato’ Seri, Datuk dan Dato’ diberikan kepada insan-insan tertentu yang banyak memberi jasa kepada negara sama ada dalam bidang politik, sukan, hiburan, akademik, ekonomi dan sebagainya. Kadang-kadang kita mudah terkeliru dengan penggunaan gelaran tersebut seperti penggunaan Dato’ dan Datuk. Di luar negara seperti di US, UK dan Australia tiada gelaran seumpama ini. Kalau ada pun Mr., Mrs. atau Miss.

Saya cuba menggunakan khidmat pak cik Google untuk mendapatkan kepastian mengenai gelaran tersebut. Kedua-duanya gelaran tersebut digunakan secara meluas. Jadi jelas ramai orang yang terkeliru dengan penggunaan gelaran ini. Jadi untuk merungkai kekeliruan ini saya terjumpa satu artikel mengenai perbezaan gelaran Dato’ dan Datuk menurut Dewan Bahasa dan Pustaka,


Dato’
Dato’ ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja.
contoh: Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Sheila Majid

Datuk
Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua, seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah.
contoh: Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Sharifah Aini, Datuk Shah Rukh Khan

Monday, March 19, 2012

xi) Baru @ Baharu???


Ayah membeli kereta baru.
                   @
Ayah membeli kereta  baharu. 

Kapal terbang itu baru saja berlepas
                            @
Kapal terbang itu baharu saja berlepas


Sejak kebelakangan ini, ramai orang yang sudah keliru dengan perkataan “Baharu” dengan “baru”. Ada sesetengah kelompok mengatakan perkataan tersebut merupakan perkataan yang sama maksud tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Perkataan ini nampak macam sama tetapi tak serupa pada hakikatnya. Namun begitu penggunaannya yang sangat meluas dalam media massa serta kesalahanggapan sesetengah pihak menyebabkan ramai orang keliru dengan penggunaannya.

Berbalik kepada istilah ‘baru’, sebenarnya ia tidak ditunjukkan dalam Kamus Dewan sebagai satu kependekkan (singkatan). Satu lagi sebab ialah kemungkinan Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka berhasrat untuk membezakan ‘baru’ antara kata adjektif (sifat) dengan kata bantu aspek (masa). Ini tak harus menjadi sebab untuk menafikan istilah ‘baru’ dan menukarnya kepada "baharu".

Friday, March 16, 2012

x) Cuba Try Test


Perkataan  “Cuba Try Test” merupakan perkataan yang sama maksud tetapi kerap digunakan oleh kebanyakan orang. Walaupun mengetahui umum kesalahan penggunaan kata namun dek kerana keterbiasaan yang telah menyebabkan perkataan ini sering digunakan oleh semua orang tidak kira sama ada yang berpendidikan tinggi mahu pun berpendidikan rendah. Penggunaan perkataan ini seharusnya tidak perlu ada dalam diri seseorang yang berpendidikan kerana penggunaan perkataan tersebut sudah terang lagi bersuluh kesalahannya. Contohnya perbualan antara rakan-rakan pelajar IPTA:

Pelajar A: kenapa kad ni tak boleh guna pula, adoi…

Pelajar B: yeke, cuba buat sekali lagi

Pelajar A: tak boleh la, dah banyak kali dh aku cuba

Pelajar B: ambil kad aku ni, cuba try test nak tengok boleh guna ke tak…

Pelajar A: ok, terimas

Begitulah perbualan antara pelajar yang sempat di dengar.

Thursday, March 15, 2012

ix) Virus Bahasa




Pelancaran Program Pembudayaan Bahasa memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya penggunaan dan pemantapan bahasa bagi sebuah negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Meskipun kita menghuni sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, bahasa Melayu sudah diiktiraf sebagai bahasa rasmi yang perlu difahami dan digunakan dalam pelbagai urusan terutamanya ketika berurusan dengan badan kerajaan. Mata pelajaran Bahasa Malaysia yang wajib dipelajari semua murid di negara kita, tidak kira sekolah mana sekalipun menunjukkan usaha ke arah memantapkan bahasa Melayu.

Malah, syarat wajib lulus dan mendapat kepujian dalam mata pelajaran bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan Bahasa Melayu berada di tahap yang sepatutnya. Kempen demi kempen mengenai bahasa sering kita lakukan namun usaha untuk menaikkan imej bahasa kebangsaan menemui pelbagai masalah. Ada yang menganggap kita semua mampu menggunakan bahasa kita dengan betul ketika kempen diadakan, tetapi selepas itu pertuturan kita menjadi tunggang-langgang.

Jika bahasa itu dilaung-laungkan sebagai lambang jati diri bangsa, maka sudah sewajarnya usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu diperhebatkan dan setiap warga yang bahasa ibundanya bahasa Melayu berusaha mendaulatkan bahasa Melayu. 

Kita tidak nafikan keaslian bahasa ibunda tercemar akibat kemasukan dan percampuran istilah yang diguna pakai oleh masyarakat di negara kita termasuk orang Melayu sendiri ketika bertutur sesama rakan. Menurut sejarah, bahasa rojak sudah mula dapat dikesan ketika zaman Parameswara lagi iaitu pada zaman kesultanan Melayu Melaka. 

Di Melaka ketika itu, terdapat 84 bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan, maka tidak hairan bahasa rojak dijadikan bahasa perantara untuk berurusan dalam pelbagai hal.
Sampai kini isu bahasa rojak tidak pernah selesai malah bertambah buruk sehingga menjejaskan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan terutamanya di kalangan remaja dikatakan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. 




Manakala menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), golongan remaja menjadikan bahasa rojak sebagai alat perhubungan dengan alasan bahasa itu ringkas dan mudah bagi mereka. Mereka tidak mempedulikan kesan penggunaan bahasa tersebut kerana bagi mereka apa yang penting adalah mereka boleh berhubung dan memahami antara satu dengan yang lain.
Dalam pada itu, oleh sebab ramai antara pemilik telefon bimbit sekarang terdiri daripada pelajar sekolah, maka tidak hairanlah wujud kebimbangan pelbagai pihak terhadap pengaruh bahasa rojak di kalangan pelajar. 

Dalam penulisan karangan, kelemahan aspek bahasa pelajar termasuk penggunaan bahasa yang tidak mantap kerana dicampuradukkan dengan bahasa asing yang tidak difahami dengan mendalam maksud perkataan yang digunakan. 

Tidak kurang juga penggunaan kata singkatan seperti ‘tak’ ‘yg’ ‘bpun’ ‘jd’ yang diguna pakai dalam khidmat pesanan ringkas itu turut dimasukkan dalam penulisan karangan oleh pelajar sekolah dan boleh menjejaskan pemarkahan dari segi ejaan.

Wednesday, March 14, 2012

viii) Melayu oh Melayu


Cara sapaan lisan/bertulis menurut bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa. Dalam kesantunan berbahasa, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar ``disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib.'' Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya ialah laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan ialah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya. Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.


HAKIKAT yang berlaku dalam sistem komunikasi masyarakat Malaysia menampakkan semakin lunturnya budaya kesantunan yang merangkumi nilai kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat, merendah diri serta penggunaan lagu suara yang baik dan menyenangkan. Kini, nilai kesantunan ketika berbahasa tidak lagi dipelihara dan semakin kurang diberi perhatian.


Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek, melecehkan orang lain dan sebagainya kini mengambil tempat yang akhirnya menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Lebih malang ialah kini indahnya sesebuah bangsa bukan lagi kerana bahasa yang digunakan.


Sedang suatu ketika dulu bangsa Melayu terkenal dengan ciri-ciri ketimuran yang sarat teguh dengan nilai-nilai mulia dan budi pekerti tinggi. Bahasa diangkat sebagai medium yang berperanan menggabungjalinkan segala aspek pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat Melayu ketika itu.


Penggunaan bahasa yang sopan dalam kalangan orang Melayu adalah semakin menipis. Hal ini kerana setiap kali komunikasi yang berlaku antara orang Melayu mesti akan terkeluar bahasa kasar yang tidak mempunyai nilai ketimuran seperti yang berlaku seketika dulu, contohnya: 


Perbualan antara pelajar IPTA yang dikatakan berilmu tinggi tapi kesopanan yang rendah.


Si A: Woi, lame tak jumpe ko??


Si B: Woi, yela dh lame kita tak jumpe ye, aku ingat ko dah mampus.


Si A: Gila ko, sape cakap aku dh mampus, aku masih hidup lagi la

Itulah perbualan antara remaja Melayu yang sempat saya dengar walaupun sekejap tetapi perkataan yang digunakan begitu menusuk kalbu si pendengar

Tuesday, March 13, 2012

vii) Bahasa Pasar




Bahasa pasar ialah ragam yang digunakan antara orang-orang Melayu dengan kaum atau bangsa lain atau antara kaum-kaum dan bangsa lain. Bahasa pasar atau dipanggil bahasa kacukan terdapat banyak unsur bahasa yang digunakan. Bahasa pasar ini terdiri daripada bahasa Melayu tetapi dengan jalan bahasa dan susuk ayat bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil.


Ciri-ciri bahasa pasar:


  • Bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu 

  • Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.

  • Tidak gramatis dengan mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan.


Ini antara bahasa pasar yang tertangkap oleh halwa telinga tatkala mendengar seorang lelaki Cina berbual dengan seorang lelaki Melayu. Contohnya:

Sikalang gua punya mini sulah talak mau dengar gua punya cakap

Maksudnya:
Sekarang isteri/bini saya sudah tidak mahu mendengar kata saya

Setengah-setengah daripada bentuk dan susunan ragam yang bukan bahasa Melayu ini telah begitu sebati dalam penggunaannya sehingga orang Melayu sendiri tidak sedar lagi akan keasingannya dan menyangka bahawa betuk-bentuk itu ialah bentuk-bentuk bahasa Melayu tulen, misalnya apa mahu, boleh bikin, kasi tahu, banyak mahal, sedikit masa, jangan bilang sama dia, itu macam, saya punya adik, dan sebagainya.

Orang Melayu yang memang terkenal dengan sifat merendah diri terbawa-bawa sifat ketika berkomunikasi dengan kaum asing. Secara tidak langsung, mereka telah menjadi model yang salah kepada orang bukan Melayu.

Penguasaan dan kemahiran dalam menggunakan bahasa Melayu akan berkurangan. Masyarakat yang selalu menggunakan bahasa pasar umtuk berkomunikasi dalam kehidupan seharian akan mengalami masalah untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik terutamanya bagi golongan muda dan pelajar.

Kerosakan bahasa merupakan penyakit yang mula tersebar kepada masyarakat dan negara. Bagaimana kita ingin meletakkan bahasa Melayu sabagai bahasa rasmi atau bahasa berbudaya tinggi sedangkan mutu bahasa yang kita perjuangkan mula terabai.


Monday, March 12, 2012

vi) Perbezaan Maksud


Pada kali ini saya ingin memperkatakan tentang beberapa bentuk bahasa sopan dan bahasa tak sopan yang merentasi budaya dalam konteks di Malaysia.

Perbezaan makna leksikal dalam Silang Budaya Menurut Asmah Haji Omar (1988:180):



“Sesuatu perkataan itu boleh menimbulkan perasaan-perasaan tertentu bergantung kepada suasana perkataan itu digunakan atau juga bergantung kepada latar belakang masyarakat yang berkenaan”. Banyak perkataan yang hanya boleh digunakan untuk masyarakat sahaja tetapi tidak sesuai untuk digunakan dalam masyarakat lain. Jika hal ini dilanggar, ia akan menimbulkan kemarahan, perasaan tidak senang, sakit hati, tersinggung, kecil hati dan sebagainya.



SAKAI ??




Orang Melayu: Sakai betul la budak kampung tu!


Orang Melanau: Ramai sakai aku yang berjaya ke menara gading


Orang Murut: Dalam majlis rumah terbuka  itu, ramai sakai kenamaan yang hadir.


Abstrak bahasa mempunyai perkaitan yang erat dengan budaya. Bahasa dapat mempengaruhi budaya, dan budaya juga dapat mempengaruhi bahasa.
Dalam masyarakat Melayu, ‘sakai’ digunakan untuk mempersendakan orang lain, misalnya ketinggalan zaman/tidak bertamadun. Bagi masyarakat Melanau di Sarawak pula, ‘sakai’ bermaksud ‘kawan atau sahabat’. Manakala bagi  masyarakat Murut, ‘sakai’ bermaksud ‘orang atau manusia’.
Hal ini menunjukkan bahawa perkataan  ‘sakai’ berfungsi sebagai bahasa tak sopan dalam masyarakat Melayu, manakala dalam masyarakat Melanau dan Murut perkataan  itu dianggap sopan.
Bahasa Sopan dan Bahasa tidak Sopan?
Bahasa sopan menunjukkan ketinggian akhlak, akal budi dan kejernihan fikiran seseorang.
Bahasa tidak sopan pula memperlihatkan kerendahan akhlak, tatatertib dan tercemarnya fikiran.
Sebenarnya, penggunaan bahasa sopan berkait dengan konsep ‘tahu bahasa’ – tahu bagaimana untuk memilih perkataan yang sesuai apabila berbicara dengan orang lain. ‘Tahu bahasa’ tidak semestinya dianggap ‘tahu budaya’. Dalam perkataan lain, ‘tahu bahasa’ harus juga ‘tahu budaya’.
Konsep ‘tahu bahasa’ merujuk kepada kecekapan berbahasa (linguistic competence), sementara ‘tahu budaya’ merujuk kepada pengetahuan tentang budaya sesuatu bangsa.

Friday, March 9, 2012

v) Selipar @ kasut???



Selipar
Kasut



Semasa cuti persekolahan yang lalu, aku pernah bekerja dengan sebuah syarikat di Melaka. Syarikat tersebut diberi nama Xin Her. Semasa bekerja di syarikat tersebut aku selalu bergurau senda dengan rakan sekerja untuk menggembirakan hati dan juga menghilangkan rasa letih bekerja. Hendak dijadikan cerita, aku ada seorang rakan kerja yang berasal dari Sarawak. Nama dia karim anak Robert. Dia juga mempunyai seorang sepupu yang bernama Agustin Gunting anak Murim. Karim ni seorang yang rajin bekerja tetapi kalau fasal main-main semasa bekerja dialah juga yang paling seronok pantang bos keluar kejap mulalah nak usik sana usik sini. Pada hari selasa, aku pergi kerja dengan memakai selipar kerana kaki aku sakit. Setibanya aku di tempat kerja, karim terus bertanya pada aku.
Karim: hey kawan, kenapa kau pakai kasut hari ni? kalau bos nampak nahas kau.

Aku: dalam hati aku pun berkata,”bila masa pula aku pakai kasut, inikan selipar, buta ke mamat ni. Ni bukan kasut la Karim, ni selipar.

Karim: yela, aku tahu la selipar tapi aku dah terbiasa dengan panggilan tu kat kampung aku…

Aku: ooooo…..


selepas hari tersebut, aku sudah tidak hairan lagi dengan panggilan kasut bagi selipar.

Thursday, March 8, 2012

iv) Ke dalam @ kedalam


Kata Sendi Nama ialah kata yang digunakan untuk menyambung frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dan ayat. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 252), kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. 

Kata sendi nama terletak di depan kata nama, frasa nama atau kata ganti nama dan dipisahkan daripada perkataan yang mengikutnya. Kata sendi nama ialah perkataan yang digunakan untuk merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain.

Contohnya: kata sendi ‘ke’

- Digunakan untuk tempat, masa dan benda konkrit tidak bernyawa.

- Dieja terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.

- Tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang.

Walaupun telah diberi garis panduan tentang cara penulisan kata sendi ‘ke’ tetapi kesalahan tetap berlaku dalam penghasilan papan tanda, kain rentang dan sebagainya. Contohnya: 


Wednesday, March 7, 2012

iii) Bahasa Rahsia






Walaupun saya bukan anggota perisik  atau polis tetapi sewaktu  di alam persekolahan dahulu saya dan rakan-rakan selalu menggunakan bahasa rahsia. Bahasa yang saya dan rakan-rakan tuturkan tidak difahami oleh orang di sekeliling dan hanya saya dan rakan-rakan sahaja yang mengetahui maknanya. Inilah yang dikatakan bahasa rahsia yang kami reka sendiri untuk mengungkapkan sesuatu yang dianggap peribadi dan tidak mahu diketahui oleh orang lain.
Contoh bahasa rahsia atau kod-kod yang digunakan dalam badan beruniform:



Alpha                                                                           November
Bravo                                                                           Oscar
Charlie                                                                         Papa
Delta                                                                            Quebec
Echo                                                                            Romeo
Foxtrot                                                                         Sierra
Golf                                                                              Tango
Hotel                                                                            Uniform
India                                                                             Victor
Juliet                                                                            Whiskey
Kilo                                                                               x-ray
Lima                                                                             yankee
Mike                                                                              zulu


Dengan adanya kod-kod bahasa ini akan memudahkan lagi mereka untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada ahli pasukan lain tanpa difahami oleh orang lain. Penggunaan kod ini adalah dengan menggunakan huruf pertama pada perkataan tersebut. Contohnya:

Ali Bin Muhammad

A - Alpha
L - Lima
I - India

B - Bravo
I - India
N - November

M - Mike
U - Uniform
H - Hotel
A - Alpha
M - Mike
M - Mike
A - Alpha
D - Delta